PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)  menumpaskan satu sindiket  membuat  E-Kad palsu di Sabah yang didalangi seorang 'Datuk Seri’ selepas menahan 14 individu termasuk tiga warga Filipina dalam satu operasi di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam operasi 12 tengah hari di sebuah premis di jalan berkenaan, pihaknya turut menyita 60 barang kes bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati sindiket yang didalangi seorang lelaki berusia  60 tahun yang mendakwa bergelar ‘Datuk Seri’ itu terlibat dalam pengeluaran dokumen palsu program pendaftaran penggajian dan penempatan semula pendatang tanpa izin (Pati) di Sabah.

 "Kegiatan 'Datuk Seri' ini dibelakangi oleh satu syarikat sendirian berhad yang beroperasi di sekitar Kota Kinabalu, Sabah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafar berkata, dokumen palsu yang dikeluarkan kepada Pati dikenakan bayaran antara RM1,100  dan RM1,200 bagi setiap kad, kononnya kebenaran untuk mereka berada di  Sabah sebagai pekerja asing yang berdaftar.

Menurutnya, proses pendaftaran akan dilakukan oleh syarikat yang diketuai oleh 'Datuk Seri' itu manakala proses cetakan dan pengeluaran diurus oleh ejen yang dilantik dengan proses tersebut dilakukan di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada Pati terbabit.

"JIM sekali lagi menegaskan tidak ada sebarang program pengurusan Pati dan pendaftaran Program E-Kad dijalankan di negeri Sabah dan JIM tidak  pernah  melantik atau bekerjasama dengan mana-mana pihak atau individu untuk melaksanakan pendaftaran Program E-Kad di Sabah," kata Mustafar.

Beliau berkata semua suspek  dibawa ke Depot Tahanan Pejabat Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut menurut  Seksyen 56 (1A) dan Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhubung terus ke pejabat imigresen terdekat untuk mendapatkan maklumat yang tepat sekiranya ada pihak yang mendakwa boleh menguruskan dan membuat pendaftaran PATI atau Program E-Kad,” katanya. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.