NILAI - Seramai 106 warga asing termasuk 18 wanita ditahan Jabatan Imigresen kerana melanggar pelbagai peraturan imigresen dalam 'Ops 6P' di Nilai 3, di sini hari ini.
   
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman berkata mereka adalah antara 450 warga asing termasuk 106 wanita yang diperiksa dalam operasi empat jam tersebut.
    
"Warga asing yang berumur antara 18 dan 40 tahun itu kebanyakannya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dokumen palsu dan menyalahgunakan pas lawatan. Mereka yang ditahan terdiri warga Pakistan, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
   
Faizal Fazri mengetuai operasi yang bermula pukul 9.30 pagi itu, yang melibatkan 196 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
   
Katanya dalam operasi itu juga pihaknya mengesan resit pendaftaran 'my permit' yang dikeluarkan sebuah syarikat kepada pendatang tanpa izin di negara ini bagi mendapatkan pas lawatan sementara atau pas kerja.

"Ini rekaan semata-mata. Dalam kes ini, pendatang asing tanpa izin ini diminta membayar RM300 untuk dikeluarkan pendaftaran ini dan seterusnya pada masa akan datang dia akan dikeluarkan satu permit kerja untuk bekerja di negara ini.
   
"Perakuan pendaftaran my permit ini dikeluarkan oleh sebuah syarikat sendirian berhad yang berdaftar di Pontian, Johor. Yang menariknya my permit ini mengeluarkan satu nombor pendaftaran seiras dengan nombor pendaftaran MyKad," katanya.
   
Beliau berkata pihaknya akan menyiasat lanjut kes tersebut yang diklasifikasi sebagai kes penipuan memandangkan kerajaan tidak pernah melaksanakan program sedemikian.
   
Katanya mereka yang ditahan akan dihantar ke Depoh Imigresen Lenggeng. - Bernama