• Ahmad Mat Isa Ahmad Mat Isa
1 /

BUKIT MERTAJAM - Seorang warga emas yang baru selesai membeli kuih untuk sarapan pagi maut dalam kemalangan yang membabitkan dua motosikal awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, Ahmad Mat Isa, 72, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala selepas dirempuh sebuah motosikal lain di Jalan Kebun Sireh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Azman Abd Lah berkata, mangsa dirempuh motosikal yang ditunggangi seorang pelajar sekolah sejurus selepas keluar dari simpang kedai tersebut.

“Pelajar yang menunggang sendirian itu datang dari arah Bukit Tengah menuju Sungai Rambai dan hanya mengalami cedera ringan.

“Dia dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dituntut ahli keluarga selepas dihantar untuk bedah siasat di hospital yang sama.

Dalam pada itu, anak bongsu mangsa, Zurhanim Ahmad, 36, berkata, pengasuh anaknya memaklumkan kejadian tersebut ketika dia berada di tempat kerjanya di Bayan Baru.

“Luluh hati ketika memandang ayah di atas jalan bersama kuih buah melaka yang bertaburan.

“Arwah ayah selalunya menghantar dan mengambil anak saya, Eizzal Hariez Mazul Azrie, 6, ke sekolah bila saya dan suami bekerja pada syif malam.

“Selalunya arwah akan membelikan Hariez kuih buah melaka untuk dibuat bekal ke sekolah,” katanya.

Zurhanim berkata, arwah ayahnya telah berkhidmat sebagai imam Masjid Kebun Sireh sejak 10 tahun yang lalu.

“Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini walaupun agak terkilan kerana hajatnya untuk belanja kami sekeluarga makan tidak tercapai.

“Arwah baru sahaja menerima dividen tabung haji baru-baru ini dan memang terasa sayu mengenangkan hajatnya yang tidak kesampaian,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kebun Sireh selepas Asar.