KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 18 bulan ke atas Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli kerana mendedahkan halaman 98 laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mac lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan yang dikemukakan Rafizi terhadap sabitan dan hukuman penjara 18 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 November lalu.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pandan itu daripada pertuduhan memiliki laporan audit berkenaan yang juga dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan sebelum ini.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman pemenjaraan itu bagi memberi peluang Rafizi melalui peguamnya Gobind Singh Deo merayu di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 November tahun lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Hukuman tersebut diperintah berjalan serentak, sebelum Rafizi memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Rafizi didakwa memiliki satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Rafizi, turut didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Seorang lelaki kekal ditahan di penjara selama diperkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kerana membunuh pelacur China yang dilangganinya, enam tahun lalu.
  • SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli melahirkan rasa leganya selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana bersalah mendedahkan penyata akaun bank National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan dua yang lain kepada media.
  • SHAH ALAM - Selepas disabitkan dengan kesalahan memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dua tahun lalu, Ahli Parlimen Pandan sekali lagi disabitkan dengan kesalahan tuduhan mendedahkan penyata akaun bank National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan dua yang lain kepada media.
  • KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk menghentikan perbicaraan kesnya atas dakwaan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji di dalam akaun Facebook miliknya.
  • KUALA LUMPUR - Hasrat seorang pekebun untuk mati syahid dengan menyertai kumpulan pengganas Daesh tidak kesampaian apabila dia akhirnya ditangkap pihak berkuasa dalam satu serbuan di sebuah rumah pada 16 Mac tahun lepas.