JOHOR BAHRU - Hospital Penawar Sdn Bhd telah menfailkan saman terhadap Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) yang didakwa melanggar satu perjanjian usaha sama dengan membina sebuah hospital lain dalam lingkungan satu kilometer dari hospital itu.

Writ saman dan penyataan tuntutan difailkan pada 15 Mei lepas di Mahkamah Tinggi Johor Baharu oleh Pengerusi Hospital Penawar Dr Mohd Adnan Sulaiman dan Pengarah Urusannya, Azizan Sulaiman.

Peguam Muhammad Adam Abdullah, yang mewakili Hospital Penawar, berkata saman itu difailkan kerana plaintif mendakwa pembukaan Hospital Pakar Pasir Gudang Sdn Bhd melanggar perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada 30 Mei 1995.

Beliau berkata antara lain, perjanjian itu menyebut kedua-dua pihak, termasuk KPJ yang memegang saham 30 peratus dalam Hospital Penawar, bertanggungjawab mengembleng sumber serta kepakaran untuk manfaat bersama dan juga perniagaan hospital tersebut.

"Sehubungan itu, Dr Adnan dan Azizan menuntut ganti rugi sebanyak RM115.6 juta daripada KPJ sebagai ganti rugi kerana melanggar perjanjian itu, atau secara alternatif, KPJ diarahkan oleh mahkamah untuk membeli saham plaintif di dalam Hospital Penawar," katanya kepada Bernama hari ini.

KPJ menfailkan pembelaannya hari ini.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Rasidah Roslee menetapkan 25 Julai depan sebagai tarikh untuk plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan yang dikemukakan defendan. - Bernama