SEBERANG JAYA - Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin, ditahan polis dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes menghina sultan.

Wan Ji yang juga penceramah bebas dan aktivis Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan kira-kira jam 2.40 petang di perkarangan Masjid Sembilang di sini selepas selesai solat Jumaat.

Difahamkan, dia turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid terbabit hari ini.

Wan Ji kemudian di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Difahamkan sebelum ini, Jawatankuasa Surau Muhammad Al-Fateh, Taman Pauh Jaya di sini, membuat laporan polis terhadap Wan Ji yang didakwa menghina institusi diraja menerusi ceramahnya.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik ketika dihubungi mengesahkan penahanan Wan Ji dengan permohonan reman ke atasnya akan dibuat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, esok.

Sementara itu, Penasihat Strategik Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan mengenai alasan penahanan Wan Ji.

Katanya, satu kenyataan akan dikeluarkan sejurus pihak peguam yang berada bersama beliau mendapat maklumat sahih mengenai tangkapan itu.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret di sini, semalam terhadap tuduhan melakukan penghinaan ke atas Sultan Mizan Zainal Abidin melalui Facebook miliknya, tiga tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh selepas...
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.