KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memuat naik posting berunsur penghinaan terhadap Almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penahanan dibuat kira-kira jam 12.27 tengah malam tadi, di sebuah rumah di Genting Highlands, Pahang.

“Suspek berusia 21 tahun itu kini direman selama dua hari.

“Selain itu, kita turut merampas sebuah telefon bimbit dan komputer riba bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kes yang berlainan, pihaknya juga sedang mengesan seorang lelaki yang didapati memuat naik posting berunsur penghinaan terhadap kemangkatan Almarhum Sultan Kedah.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Acryl dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya berpeganglah kepada prinsip rukun negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan berfikirlah sebelum membuat sesuatu. Jangan sesekali menyalahgunakan laman sosial untuk membuat sebarang komen yang dilihat sebagai biadap, kurang ajar atau penghinaan terhadap sesiapapun lebih-lebih lagi terhadap institusi raja serta pemimpin-pemimpin negara.

“Tindakan tidak bermoral seperti ini dikhuatiri mampu mencetuskan ketegangan di kalangan masyarakat selain mengganggu gugat keamanan serta ketenteraman negara ini. Penulisan komen yang tidak sepatutnya di laman sosial juga merupakan satu kesalahan dan memungkinkan satu tindakan undang-undang diambil terhadap si pelaku,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.