SEPANG - Polis akan memanggil penganjur berhubung penganjuran 'Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah menerima beberapa laporan polis berhubung himpunan terbabit.

"Kita dari awal lagi memang tidak perakukan himpunan itu dijalankan dan kita juga sedang meneliti apa tindakan yang boleh diambil.

"Malah, kita juga akan memanggil penganjur untuk bantu siasatan. Kalau kita perlu ambil tindakan, kita akan ambil," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis KLIA, di sini, hari ini.

Tambahnya, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sesuai.

Himpunan yang berlangsung bermula jam 4 petang itu, turut dihadiri Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Terdahulu, polis tidak memperakukan penganjuran 'Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi selepas menerima laporan ini yang dibuat daripada penduduk setempat atas banyak isu termasuk kesesakan lalu lintas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :