• Norlida Hisham Mad Yasin Telefon bimbit jenis android boleh didapati dengan harga serendah RM300.
1 /

Jika dahulu penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah agak asing kerana tidak semua mampu memilikinya kecuali mereka yang datang dari keluarga berada namun kini zaman berubah.

Kini boleh dikatakan setiap pelajar sekolah termasuk berusia 12 tahun ke bawah mempunyai telefon bimbit masing-masing sama ada dibeli ibu bapa atau dibeli menggunakan simpanan sendiri.

Keperluan penggunaannya juga kini agak meluas yang mana bukan sahaja hanya menelefon atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) tetapi juga melayari Internet.

Beli ikut trend

Bagi pengusaha kedai telekomunikasi Rizky Brothers Mobile Agents, Norlida Hisham Mad Yasin berkata, remaja pada hari ini membeli telefon bimbit mengikut perkembangan semasa.

Menurutnya, kini telefon bimbit yang paling digemari remaja ialah menggunakan aplikasi android.

“Sememangnya diakui penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja pada masa kini lebih kepada keperluan untuk melayari Internet terutama laman sosial facebook, twitter dan sebagainya.

“Tambahan pula, telefon jenis itu boleh diperoleh dengan harga serendah RM300,” katanya.
 
Miliki lebih satu telefon bimbit

Norlida berkata, kedainya akan menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu oleh golongan remaja yang melihat telefon bimbit terkini dan pek permulaan telefon.

Menurutnya, selain telefon bimbit, remaja juga gemar membeli nombor telefon baru.

“Berdasarkan pengalaman, seorang remaja biasanya mempunyai dua atau lebih telefon bimbit.

“Mereka gemar bertukar-tukar nombor telefon bergantung kepada tawaran menarik disediakan syarikat telekomunikasi atau sekadar suka-suka apabila merasakan nombor telefon itu cantik,” katanya.

Dia berkata, seorang individu boleh mendaftar lebih enam nombor telefon dalam sesuatu masa.

Bertanggungjawab atas penjualan

Norlida yang sudah hampir 16 tahun membabitkan diri dalam perniagaan telekomunikasi berkata, pihaknya sememangnya agak tegas dalam aspek penjualan sama ada kad tambah nilai, aksesori telefon atau telefon bimbit terutama kepada mereka yang berusia 12 tahun ke bawah.

Menurutnya, sekiranya mereka ini datang sendirian, pihaknya tidak akan membenarkan proses jual beli berlaku kecuali ditemani orang dewasa terutama ibu bapa masing-masing.

“Selain itu, kami juga tidak menyediakan muat turun video tidak senonoh walaupun terdapat permintaan dari pelanggan terutama remaja.

“Walaupun diakui ada pekedai yang menyediakan muat turun sebegitu namun sebagai peniaga kami mengambil pendekatan tidak melakukannya,” katanya.

Jualan tambah nilai RM5 laris

Norlida berkata, jualan kad tambah nilai RM5 boleh dikatakan amat laris terutama dalam kalangan remaja sekolah.

Menurutnya, kemungkinan besar mereka membeli tambah nilai menggunakan wang perbelanjaan sekolah yang diberi ibu bapa masing-masing.

“Apabila mereka tambah nilai RM5, mereka bukan sahaja boleh menghantar SMS tetapi turut boleh melayari Internet menerusi tawaran serendah RM2 sehari disediakan syarikat telekomunikasi tertentu.

“Hampir setiap hari mesti ada golongan remaja datang ke kedai untuk membeli kad tambah nilai RM5,” katanya.

Sanggup ikat perut

Seorang remaja yang ingin dikenali sebagai Lan, 16, berkata, dia sanggup mengikat perut menyimpan belanja sekolah yang diberi ibu bapa semata-mata untuk membeli kad tambah nilai.

Menurutnya, telefon bimbit adalah ‘nyawa’ kedua bagi remaja seusianya.

“Jika tidak ‘top up’ hidup rasa sunyi sebab semua kawan-kawan sibuk dengan telefon bimbit masing-masing.

“Selain melayari Internet, saya gemar bermain permainan online yang sememangnya menarik,” katanya.

Lan berkata, apabila melihat rakan membeli telefon bimbit baru yang lebih canggih, dia juga akan berazam memilikinya.