PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas empat  individu termasuk seorang ketua eksekutif bergelar 'Datuk' yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu  berkaitan kes penyelewengan dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta.

Perintah tahanan reman enam hari bermula hari ini hingga 19 September itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman.

Keempat-empat mereka  dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada kira-kira 10.35 pagi sebelum dibawa keluar lebih sejam kemudian selepas prosiding selesai.

Semalam media melaporkan SPRM menahan empat individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan. 

Menurut laporan itu, ketua eksekutif bergelar Datuk berusia 58 tahun itu ditahan bersama-sama setiausaha perbadanan, 34, penolong pegawai kewangan, 32 dan seorang pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor, 38 di beberapa lokasi di ibu negara dalam satu operasi khas SPRM petang Rabu. 

Dalam perkembangan lain, Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membebaskan dua individu yang sebelum ini direman  bagi membantu siasatan kes berkaitan tuntutan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) untukl satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Dua individu yang dibebaskan ialah seorang bekas eksekutif  lelaki syarikat cari gali minyak berusia 40 tahun yang kini bergelar ahli perniagaan dan suami kepada pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor yang berumur 53 tahun  dan bekerja sendiri. Syarikat kontraktor terbabit dikatakan dilantik untuk melaksanakan projek berkenaan.  

Sebelum ini kedua-dua mereka direman  berhubung siasatan tuntutan palsu melalui tiga invois syarikat kontraktor berkenaan antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat itu.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Tempoh reman lima hari seorang penyelesai yang disiasat berhubung isu jual beli tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol, Negeri Sembilan yang dahulunya dikenali sebagai Ladang Gatco yang berakhir hari ini dilanjutkan empat hari lagi.
  • KUALA NERUS - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak cenderung mengambil tindakan terhadap individu daripada parti politik tertentu, sebaliknya setiap siasatan yang dibuat adalah profesional dan adil.
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, semalam di pejabat ahli parlimen itu di Kota Damansara.
  • PUTRAJAYA - Ketua Eksekutif sebuah perbadanan bergelar Datuk dan dua individu lain yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM40 juta dibebaskan hari ini.
  • JOHOR BAHRU - Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin meningkat berikutan peningkatan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.