KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon orang ramai agar tidak menularkan  gambar-gambar mangsa yang terkorban dalam tragedi  kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Asyraf dalam catatan Facebooknya  berkata, beliau kecewa dan sedih melihat banyak gambar mangsa  disebar dan ditularkan sewenang-wenangya di laman sosial atau aplikasi sosial.

“Di mana akhlak dan etika kita sebagai orang Islam dan manusia bertamadun yang seharusnya punya nilai simpati kepada waris yang kehilangan orang tersayang.

“Apatah lagi memelihara aib jenazah adalah kewajiban yang ditetapkan syarak,” katanya.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) Datuk Zulkarnain Mahdar dalam kenyataan hari ini berharap semua gambar dan video mangsa yang tular di laman sosial Facebook, Twitter dan aplikasi  WhatsApp dipadamkan.

“Kemungkinan tindakan penyebaran gambar dan video ini dilihat sebagai cara penyaluran maklumat namun perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah perasaan keluarga mangsa.

Penyebaran gambar tersebut sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang dan perasaan trauma dalam kalangan mereka,” katanya.

Sehubungan itu katanya, adalah lebih sesuai bagi rakyat Malaysia mendoakan agar roh mangsa kebakaran   dicucuri rahmat dan keluarga mangsa diberikan kesabaran oleh Allah dan anggota masjid dan surau di seluruh Malaysia boleh mengadakan bacaan Surah Yassin pada setiap malam Jumaat.

Kebakaran 5.15 pagi tadi itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu-Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Jenazah 23 mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung sini hari ini mungkin dikebumikan dalam satu liang lahad sekiranya mendapat persetujuan keluarga.
  • SHAH ALAM - Trend ekstremis jihad di negara ini kini menunjukkan perubahan dan mula memberikan cabaran besar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
  • SHAH ALAM - Berikutan isu melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang hangat diperkatakan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil menuntut agar semua pihak berlaku adil dalam menilai.