KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis dari Balai Polis Bukit Jalil, di sini, maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai cuba melarikan diri daripada diperiksa pegawai pencegah maksiat.

Kejadian berlaku di dua lokasi berasingan awal pagi tadi.

Menurut laporan portal tempatan, dalam kejadian pertama, pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu unit kediaman di tingkat empat sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, jam 3 pagi.

Bagaimanapun, sebaik memasuki kediaman berkenaan, pegawai Jais menemui seorang wanita di dalam sebuah bilik dengan satu tingkapnya didapati terbuka dengan seorang lelaki didapati terbaring di bawah pangsapuri berkenaan.

Anggota polis itu seterusnya dikejarkan ke Hospital Ampang sebelum disahkan meninggal dunia jam 6.45 pagi.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian di Taman Puchong Perdana menyaksikan seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan parah juga akibat terjun dari sebuah pangsapuri.

Identiti anggota polis tersebut masih belum dikenal pasti dan keadaannya kritikal.

Pegawai Jais, Datuk Haris Kasim dipetik sebagai mengesahkan kejadian tersebut namun enggan mengulas lanjut hingga siasatan sepenuhnya dijalankan.
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.