JOHOR BAHRU - Dua lelaki nyaris dibelasah orang ramai selepas mereka terjatuh dari motosikal yang dinaiki ketika cuba meragut seorang wanita, Isnin malam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 8 malam, mangsa yang merupakan wanita warganegara Indonesia berusia 19 tahun itu sedang menggunakan telefon bimbit sementara menunggu perkhidmatan Uber di Jalan Kenyalang, Larkin, sebelum didatangi kedua suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kedua suspek kemudiannya menghampiri mangsa dengan menggunakan motosikal mereka sebelum salah seorang daripadanya bertindak merampas telefon bimbit milik wanita tersebut.

"Tanpa disedari salah seorang suspek yang merupakan pembonceng motosikal telah bertindak merampas telefon bimbit mangsa yang ketika itu berada di tepi jalan.

"Mangsa dalam keadaan terkejut terus menjerit minta tolong selain bertindak menarik beg sandang milik pembonceng motosikal yang mengakibatkan kedua-duanya jatuh," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

​​​​​Shahurinain berkata, sebaik sahaja terjatuh daripada motosikal, kedua suspek bagaimanapun gagal untuk melarikan diri kerana mereka terus dikepung orang ramai yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

"Suspek yang masing-masing berusia 31 dan 22 tahun itu terus dipegang orang ramai.

"Kejadian turut menyebabkan kekecohan di kawasan sekitar selain menghalang trafik,” katanya.

Beliau berkata, telefon bimbit itu kemudian dikembalikan kepada mangsa sementara kedua suspek  diserahkan kepada anggota peronda yang bertugas untuk dibawa ke Balai Polis Larkin bagi tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati kedua mereka mengaku telah melakukan ragut terhadap mangsa wanita terbabit.

“Kita juga akan jalankan semakan mengenai penglibatan mereka dalam mana-mana kes samun atau ragut di sekitar kawasan ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KANGAR - Mahkamah Majistret Kangar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan ke atas seorang penganggur yang mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis awal bulan ini.
  • KUALA LUMPUR - Tiada permohonan rasmi diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibuat kerajaan India untuk proses ekstradisi terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.
  • KUALA LUMPUR - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak boleh terlepas pandang dakwaan seorang bekas pemimpin cawangan MIC yang melakukan gangguan seksual terhadap remaja sebagai balasan untuk bantuan dan pekerjaan.
  • TAIPING - Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinasihatkan supaya terus mengekalkan kesepaduan sebagai sebuah institusi beruniform, di samping mengelakkan diri daripada berbalah, fitnah menfitnah dan berpuak-puak antara satu sama lain.
  • GUA MUSANG - Operasi mencari lelaki warga emas, Lau See, 69, yang dilaporkan hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8 di sini yang masuk hari ke-20 hari ini, masih gagal menemui sebarang petunjuk.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.