KOTA TINGGI - Dua penunggang motosikal maut selepas terlibat kejadian kemalangan berasingan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian pertama berlaku pada jam 1.30 petang di Jalan Utama Kampung Tembioh melibatkan motosikal jenis Honda EX5 dengan motosikal Yamaha 135 LC.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa, Ibrahim Edin, 39, beralamat di Kampung Tembioh meninggal dunia.

Manakala penunggang dan pembonceng Yamaha 135 LC merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laksamana cedera parah dan tidak sedarkan diri.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda EX5 dari arah Kampung Tembioh menghala ke bandar Kota Tinggi telah dilanggar Yamaha 135 LC yang datang dari arah bertentangan.

"Kemalangan ini berlaku disebabkan Yamaha 135 LC yang datang dari arah bandar Ke Kampung Tembioh gagal memotong kenderaan dipercayai lori lalu hilang kawalan dan  melanggar motosikal Honda EX5 di laluan bertentangan.

"Akibat dari kejadian itu, mangsa dan penunggang serta pembonceng Yamaha 135 LC telah terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala, muka lalu dihantar oleh ambulan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Rahmat, pada jam 2.30 petang penunggang motosikal Honda EX5 telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Manakala penunggang dan pembonceng Yamaha 135 LC masih dalam keadaan kritikal dan telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian berasingan kira-kira jam 5.30 petang  di kilometer 51.0 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Kilang Kayu, seorang pekerja membersih rumah di Singapura maut selepas motosikal Yamaha 135 LC terlibat kemalangan dengan Proton Saga.

Mangsa, Mohamad Shibli Zulkefkee, 26, beralamat di Jalan Mersing, Endau disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HKT malam tadi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Yamaha 135 LC dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru telah terlanggar sisi tepi hadapan sebelah kiri Proton Saga yang datang dari arah Kota Tinggi.

"Ketika kejadian kereta tersebut sedang membelok masuk simpang ke Jalan Perani - Lok Heng. Ekoran itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HKT untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.30 malam tadi," katanya lagi.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati jalan lurus dua hala dan bergarisan berkembar sebagai pembahagi jalan serta terdapat simpang di sebelah kanan Jalan Perani - Lok Heng.

Kawasan kejadian adalah berdekatan dengan sebuah kilang kayu dan ketika kejadian keadaan cuaca semasa kejadian hujan serta jalanraya basah.

Tambah Rahmat, siasatan lanjut masih diteruskan dan kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMAMAN - Belumpun sampai 24 jam kemalangan menyayat hati yang meragut nyawa dua anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun berlaku di Kemaman, satu lagi nahas jalan raya yang mengorbankan dua lagi mangsa terjadi di daerah ini, awal pagi tadi.
  • BUTTERWORTH - Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan empat buah motosikal di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) awal pagi tadi.
  • SEGAMAT - Seorang remaja tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta di Kilometer 6 Jalan Paya Pulai-Pogoh, petang semalam.
  • REMBAU - Seorang kerani Pos Laju maut tercampak ke dalam longkang selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan di kilometer 14.5, Jalan Seremban-Tampin, di sini, pagi tadi.
  • YAN - Seorang warga emas, Othman Hassan,79, maut apabila diirempuh sebuah motosikal ketika cuba melintas jalan di Kampung Sungai Lintang pada jam 9 pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.