KEMAMAN - Belum sampai 24 jam kemalangan menyayat hati yang mengorbankan dua anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di Kemaman, satu lagi nahas jalan raya mengakibatkan dua lagi mangsa maut di daerah ini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.50 pagi di Kilometer (Km) 258 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing itu meragut nyawa Mohamad Zaiful Azlan Embong, 53, yang beralamat di Jalan Selat, Tasek Padang Kabar, Bukit Payong, Marang dan Mohamad Nazrul Afda Mat Amin, 21, dari Kampung Tasek Banggol Pak Ali, Bukit Payong, Marang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Proton Persona dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

Katanya, ketika kejadian, kenderaan dipandu Mohamad Zaiful Azlan yang bekerja sendiri, secara tiba-tiba terbabas lalu merempuh pengadang kiri lebuh raya, menyebabkan kenderaan itu turut berpusing beberapa kali sebelum terhenti di lorong kanan lebuh raya.

"Ekoran itu Mohamad Zaiful Azlan tercampak ke atas jalan manakala penumpangnya, Mohamad Nazrul Afda tersepit di dalam kereta dan dikeluarkan oleh pihak bomba.

"Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk untuk proses pengecaman," katanya.

Rempuhan kuat juga mengakibatkan bahagian belakang dan depan kenderaan terbabit remuk teruk hinggakan enjin kereta itu turut tercabut serta tercampak ke bahagian tengah lebuh raya.

Mohd Said berkata, proses bedah siasat dijangka dijalankan pada jam 9 pagi ini dan siasatan lanjut kes itu dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kemalangan itu hanya berselang kira-kira 12 jam selepas insiden konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) polis trafik yang dalam perjalanan pulang dari Mersing, Johor ke Kuala Terengganu dirempuh sebuah lori yang memasuki laluan konvoi di KM 139 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Teluk Kalong, di sini, kira-kira jam 2.55 petang, semalam.

Dua peserta konvoi yang menunggang motosikal berat polis jenis Honda CBX 750, Sarjan Mejar Abd Hakim Samingan, 54 dan Koperal Suresh Itchang, 36, yang kedua-duanya dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Dungun meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA TINGGI - Seramai 47 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Ulu Tiram-Kota Tinggi, di sini, pagi tadi.
  • SUNGAI PETANI - Dua maut, 14 cedera dalam kemalangan di kilometer 68 Jalan Sungai Petani-Butterworth dekat Kampung Padang Buluh, Tikam Batu apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi bertembung dengan van pekerja dalam kejadian 5.55 pagi tadi.
  • JEMPOL - Mahkamah Majistret Bahau hari ini menetapkan 13 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pemandu treler yang mengakibatkan lapan maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, 11 Jun lalu.
  • PORT DICKSON - Seorang lelaki penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 19.5 Lebuhraya Seremban Port Dickwon (SPDH) arah Seremban ke Port Dickson sekitar jam 8 pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.