KUALA TERENGGANU -  [VIDEO] Seorang lelaki dijatuhkan hukuman setahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini, kerana menipu berkaitan pengurusan rumah flat.

Dia telah meminta RM3,000 sebagai wang proses mendapatkan rumah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran di sini, tiga tahun lalu.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Wong Chin Chok, 43, dari Kuantan, Pahang, mengaku salah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu mangsa, Gan Tong Seng, 60.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya mangsa untuk mempercayai kononnya akan menguruskan proses mendapatkan rumah flat PPR di Padang Hiliran, di sini, sehingga mendorongnya menyerahkan RM3,000 sebagai wang proses.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu di Blok B Flat Bukit Kecil, di sini, pada 11 Ogos 2015.

Dengan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistert Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ada bertemu seorang lelaki (tertuduh) sebelum dimaklumkan mengenali ‘orang tengah’ yang boleh menguruskan bagi mendapatkan rumah flat PPR di Padang Hiliran, di sini, pada Ogos 2015.

Mangsa bagaimanapun perlu menyerahkan sejumlah wang sebagai duit upah kepada ‘orang tengah’ terbabit sebelum membuat pembayaran secara tunai sebanyak RM3,000 kepada tertuduh pada 11 Ogos 2015.

Sejurus itu, mangsa dijanjikan akan memperoleh rumah tersebut pada Jun 2016 setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkenaan tetapi sehingga sekarang mangsa masih tidak mendapat rumah dijanjikan itu.

Mangsa cuba menghubungi tertuduh untuk mendapatkan penjelasan tetapi diberi pelbagai alasan yang tidak logik sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut kerana yakin dirinya sudah ditipu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyiasat dakwaan seorang bekas pelajar kolej di utara tanah air bahawa kolejnya telah mengenakan caj tersembunyi dalam yuran ke atas peminjam PTPTN.
  • KUALA LUMPUR - Dijanjikan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, itu antara modus operandi sebuah kolej swasta di utara Semenanjung bagi menarik lebih ramai melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) itu.
  • KUALA LUMPUR - Lelaki Nigeria dan teman wanitanya dicekup di sebuah pangsapuri di Rawang, dekat sini, selepas dipercayai memperdayakan seorang ahli perniagaan hingga rugi ribuan ringgit.
  • MUADZAM SHAH - Kira-kira 48 peneroka termasuk ahli keluarga mereka dari Felda Keratong, di sini, membuat laporan polis setelah berasa tertipu dengan pakej umrah dan ziarah yang dikendalikan oleh sebuah syarikat di sini.