SHAH ALAM - Datuk Ahmad Maslan hari ini menolak cabaran Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman agar berdebat dengannya berhubung status saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) atas alasan ia hanya membuang masa.

Timbalan Menteri di  Jabatan Perdana Menteri menegaskan, tiada sebab untuknya harus menyahut cabaran Mazlan kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi berdebat berkenaan isu itu.

“Saya tidak mahu buang masa berdebat dengan beliau dan mereka yang sewenang-wenangnya mencipta fitnah tidak berasas ke atas Felda,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Semalam, Mazlan mengajak Ahmad supaya berdepan secara berdepan atau sekurang-kurangnya mengadakan sesi dialog bagi sama-sama membincangkan status saham FGVH.

Ahmad turut menggesa Mazlan menghentikan tohmahan dan fitnah ke atas Felda dan jika tidak, akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Menurutnya Mazlan, beliau mencabar timbalan menteri itu untuk berdebat secara terbuka dengannya bagi membuktikan status sebenar pegangan saham FGVH yang selama ini didakwa diselubungi kontroversi.

“Tindakan dia (Mazlan) mencabar saya untuk berdebat hanya sekadar mahu menutup kesilapan sendiri, jadi buat apa saya buang masa untuk menyahut cabaran mereka yang tidak masuk akal itu?” tegas Ahmad.

Beliau turut menambah yang Mazlan terdesak mengajaknya berdebat kerana tersepit dengan kesilapan beliau dan rakan-rakan yang lain menabur fitnah keatas Felda.

“Apa yang saya dapat lihat, mereka kini jelas berada dalam keadaan tersepit akibat fitnah yang mereka sendiri cipta,”ujarnya.

Sebelum ini, banyak tohmahan dinyatakan oleh Mazlan seperti dalam Harakah pada 10 September lalu bertajuk "400 juta unit saham FGVH dimiliki Genting".

Artikel berkaitan yang patut anda baca :