KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar 'Datuk' merupakan antara empat suspek  yang ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu perkhidmatan logistik dianggarkan bernilai RM26.3 juta.

Kesemua  suspek, tiga lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 39 hingga 46 tahun, ditahan di sekitar Shah Alam dan Klang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata  pihaknya menerima 11 laporan polis yang dibuat oleh syarikat Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd mengenai tuntutan palsu itu.

“ Sejumlah 11 kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendedahkan kes itu bermula pada 2008 sehingga 2014, di mana suspek utama kes pada masa itu bekerja sebagai pengurus besar bahagian kawalan material dan logistik syarikat terbabit yang mengemukakan pelbagai tuntutan yang kononnya disediakan beberapa syarikat pengangkutan berbeza.

"Sebanyak 11 syarikat pengangkutan telah digunakan bagi membuat tuntutan berkenaan dan pihak syarikat hanya menyedari perkara itu pada awal tahun 2015 setelah melantik sebuah agensi juruaudit luaran ke atas semua invois yang dikemukakan suspek.

"Suspek utama kes ini akan dituduh dengan keseluruhan 93 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan," katanya.

Amar Singh berkata tiga suspek lain masing-masing akan dituduh dengan 19 pertuduhan, 18 pertuduhan dan 46 pertuduhan.

Beliau berkata kesemua pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam esok.

“ Sehingga kini, lima kertas siasatan berjaya diselesaikan dan baki enam lagi kertas siasatan akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Seorang pengurus besar sebuah hotel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana dipercayai membuat tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan sewaan bas.
  • KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat pembekal benih padi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM25,000 selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM118,944, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
  • KOTA BHARU - Pakar urologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Datuk Dr Azhar Amir Hamzah menafikan beliau membuat tuntutan palsu ketika berkhidmat di sebuah hospital di Perth, Australia.
  • KUANTAN - Seorang penolong jurutera di Pejabat Tanah dan Daerah Rompin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan membuat tuntutan palsu RM65,340 bagi kerja pembinaan surau, tahun lalu.