KUALA LUMPUR - Siasatan mendapati Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi tadi tiada ciri-ciri keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan itu berdasarkan siasatan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, tidak kira sekolah tahfiz yang beroperasi di tempat sementara atau tidak,dasar pendidikan maahad tahfiz perlu diikuti.

"Kami faham bahawa penginapan dan tempat pengajian ini adalah sementara sahaja kerana mereka sedang melakukan renovasi bagi maahad tahfiz yang kekal bentuknya. 

"Bagaimanapun saya ingin mengulangi bahawa kita mempunyai dasar pendidikan maahad tahfiz dan ini harus diikuti walaupun ia berbentuk sementara atau kekal ia haris diikuti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini. 

Ahmad Zahid berkata, ciri-ciri keselamatan yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JBPM mesti dan wajib dipatuhi.

Katanya, pihaknya ingin memberikan pandangan piawaian ditentukan melalui dasar pendidikan maahad tahfiz dipatuhi sepenuhnya.

Katanya, malah bomba menyediakan latihan khusus supaya maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat mewujudkan pasukan bomba sukarelawan masing-masing dan dilancarkan oleh beliau Mei lalu.

"Berdasarkan rekod yang diperolehi sejak 2011, sebanyak 31 kejadian kebakaran berlaku. Saya tidak fikir atas nama kuasa siapa pun maka kita harus khuatir untuk menyelaraskan dari segi keselamatan.

"Saya tidak salahkan mana-mana pihak dan saya beritahu di Sibu tadi untuk mengatakan bahawa piawaian keselamatan mesti dipatuhi semua pihak, dengan tidak berhasrat dan berhajat untuk campur tangan dalam pentadbiran atau ambil alih maahad tahfiz," katanya.

Beliau juga menggesa sekolah tahfiz menekankan aspek keselamatan biarpun ibadah dalam pengajian itu menjadi keutamaan.

"Biarpun tujuan kita adalah mahu menuju ke jalan akhirat, tetapi aspek-aspek keduniaan termasuk ciri-ciri keselamatan hendaklah diberi keutamaan. 

"Dalam hal ini saya bagi pihak kerajaan akan membantu sedaya mungkin yang boleh bagi menyelaraskan semua pentadbiran maahad tahfiz dan jangan anggap ada campur tangan atau usaha pengambilalihan," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, pusat tahfiz itu tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan selain telah diubah suai dari struktur asal.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima permohonan sijil perakuan berkenaan daripada pihak pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung bulan lepas, namun masih belum diluluskan.

"Mengikut pelan asal bangunan itu, ia berkonsep terbuka, tetapi telah dibina tembok dan tidak ikut pelan asal. Bangunan ini juga belum ada kebenaran untuk beroperasi daripada pihak bomba," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.