KOTA KINABALU - Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan Suruhan­jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah RM1.5 bilion.

Sebelum itu, pada sebelah pagi presiden Parti Warisan Sabah itu telah hadir di pejabat SPRM Kota Kinabalu bagi memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes itu.

Ketika hadir di pejabat SPRM hari ini, Shafie turut ditemani isterinya,  Datin Seri Shuryani Shuaib dan disambut penyokongnya.

Difahamkan, SPRM akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok bagi meneruskan siasatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanannya dibuat kira-kira jam 9 malam tadi.

Sebelum ini, dua adik Mohd Shafie ditahan reman berhubung kes sama.

Salah seorang daripada mereka, Hamid telah dibebaskan semalam, manakala Adun Lahad Datu, Datuk Yusof, masih ditahan reman.

Dana RM1.5 bilion itu adalah sebahagian peruntukan kerajaan Pusat melalui sebuah kementerian berjumlah RM7.5 bilion untuk projek luar bandar di Sabah dari 2009 hingga 2015.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.