TENOM - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, negara Indonesia, Malaysia dan Filipina pada mesyuarat INDOMALPHI Trilateral Intelex memutuskan agar setiap negara melantik 'orang hubungan' (POC) dari kalangan anggota tentera dan polis untuk memudahkan urusan pertukaran maklumat risikan berhubung ancaman keselamatan termasuk daripada kumpulan Daesh.

Hishammuddin berkata, dalam mesyuarat yang julung kalinya diadakan melibatkan ketiga-ketiga negara berjiran di Manila, Filipina baru-baru in, Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya mesyuarat berkenaan diadakan susulan pertemuan wakil ketiga-tiga negara sewaktu menghadiri Persidangan ‘Trilateral Meeting On Security Among The Philippines, Indonesia and Malaysia’ pada bulan lalu.

Selain itu, kata Hishammuddin,  semasa mesyuarat tersebut, ketiga-tiga negara turut bersetuju agar perbincangan dan perjumpaan antara wakil dari setiap negara mesti dilaksanakan setiap tiga bulan mengikut giliran dan Malaysia dilantik sebagai penganjur bagi persidangan kedua yang dijangka berlangsung pada bulan Oktober 2017."Sesungguhnya, inisiatif ini amat penting dan bersejarah bagi Malaysia, Indonesia dan Filipina kerana ia menjadi kerjasama pertama melibatkan ketiga-ketiga negara yang menggabungkan elemen ketenteraan dan kepolisan bagi membincangkan dan berkongsi maklumat perisikan," katanya dalam kenyataan yang diedarkan di sini selepas beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Zon 4 di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas, beliau menganggap pendekatan berkenaan sebagai tepat pada masanya serta berupaya membawa impak positif terhadap usaha menangani ancaman keganasan di rantau Asia Tenggara.

Katanya Kementerian Pertahanan dan ATM akan memberi komitmen sepenuhnya dan sedia menyumbang apa juga bentuk perkongsian yang diperkirakan berupaya membantu menjayakan inisiatif berkenaan.

"Malah, sebelum ini, saya sendiri bersama rakan sejawat saya, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Negrillo Lorenzana telah beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan seterusnya memutuskan untuk malaksanakan pelbagai bentuk kerjasama pertahanan termasuk berkongsi maklumat risikan," katanya.

Justeru kata Hishammuddin, beliau amat gembira dengan perkembangan terbaru itu kerana usaha ketiga-tiga negara berkenaan sebelum ini telah diterjemahkan menerusi pelaksanaan inisiatif berkenaan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Akibat memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh yang disimpan di dalam telefon bimbitnya, seorang gelandangan hari ini dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini.
  • KUALA LUMPUR - Pensyarah di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) antara lapan suspek yang dicekup kerana mempunyai kaitan dan hubungan dengan anggota kumpulan pengganas Daesh di luar negara.
  • MELAKA - Polis mengesahkan terdapat cubaan rakyat negara ini untuk “berjihad” di Rakhine, Myanmar susulan penindasan ke atas masyarakat minoriti Islam Rohingya yang dihebahkan kumpulan militan Daesh.
  • KUALA LUMPUR - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki barangan berkaitan Daesh, Ogos lalu.
  • KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, tahun lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.