• Logam Curi logam - Gambar hiasan
1 /

KUALA TERENGGANU – Walaupun berdepan pelbagai risiko termasuk kematian, kes kecurian kabel terutama melibatkan kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) di negeri ini masih berlaku dan tidak berkurangan.

Pengurus Besar Telekom Malaysia Berhad (TM) Terengganu, Hamidun Ismail berkata, kebanyakan pencuri kabel menjadikan kawasan luar bandar sebagai lokasi kegemaran mereka.

“Kes kecurian kabel TM tidak berkurangan malah tiada perbezaan kes tahun ini berbanding tahun lalu.

Kebanyakan kes dilapor melibatkan luar bandar terutama di utara Terengganu.

“Mereka masih degil walaupun sudah tahu ia menyusahkan banyak pihak selain risiko yang terpaksa ditanggung. Mereka rela mengaut keuntungan menggunakan jalan singkat dan penuh risiko walaupun sedar ia menyalahi undang-undang,” katanya.

Menurutnya, sebagai langkah membanteras kes itu, TM kini giat menjalinkan kerjasama bersama polis, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan orang awam.

“Mereka menjadi mata dan telinga kepada harta awam dan rangkaian TM.

“Sebagai langkah membanteras kes ini, orang awam atau sesiapa mendapat maklumat mengenai kecurian kabel boleh terus menghubungi talian 100 yang beroperasi selama 24 jam,” katanya.

Hamidun turut menasihati individu yang menjalankan kegiatan itu supaya berhenti berbuat demikian kerana ia memberi impak kepada pengguna lain, selain merugikan banyak pihak.