JOHOR BAHARU - Menyedari kesukaran untuk mengenal pasti kesahihan pekerja binaan asing, syarikat Construction Labour Exchange Centre Berhad (Clab) mengambil inisiatif memperkenalkan kad pendaftaran pekerja asing.

Ketua Eksekutif Clab, Abdul Rafik Abdul Rajis berkata kad tersebut dilengkapi dengan cip yang mampu menyimpan data pekerja asing.

"Dengan mengambil kira pekerjaan yang dilakukan pekerja binaan asing yang sentiasa terdedah kepada hujan dan panas di lokasi pembinaan, ia lebih mudah dengan membawa kad tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar bersama pelanggan Clab Wilayah Selatan di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim.

Beliau berkata penggunaan kad tersebut dilancarkan pada Ogos lepas dan disambut baik oleh penggiat dalam industri pembinaan.

"Kad tersebut mempunyai sistem keselamatan yang ketat dan kod bar yang mempunyai imej yang berlainan serta tidak boleh ditiru oleh sesiapa," katanya.

Abdul Rafik menjangkakan pada akhir November ini, sebanyak 20,000 kad akan dikeluarkan dan sehingga 30 September lepas, sebanyak 7,000 kad telah dikeluarkan.

Clab merupakan organisasi yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kabinet untuk bertindak sebagai pemudah cara dalam soal pengambilan pekerja binaan asing. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :