CHANGKAT JERING - Seorang anggota polis trafik cedera ringan selepas terlanggar besi bumbung yang terjatuh dari sebuah lori di Kilometer 221.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Sarjan Mohd Safian Mahmud@Ismail, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping baru selesai menjalankan tugas rondaan Op Selamat 2017.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa yang menunggang motosikal pasukan jenis VFR dalam perjalanan dari Tapah menuju ke IPD berkenaan selepas tugasnya selesai.

"Siasatan mendapati kejadian itu berpunca besi daripada bumbung lori bermuatan perabot berkenaan yang terjatuh di atas jalan.

"Mangsa yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar besi terbabit sebelum terbabas di lorong kecemasan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan sakit belakang dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :