KUALA LUMPUR - Seorang pencuci kereta rakyat  India dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini selepas didapati bersalah mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang tinggal di kawasan perumahannya.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Panneerselvam, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Narainasami SM Alagu yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dan jaminan terhadap tertuduh dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM7,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga  rayuan selesai.

Panneerselvam  didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 12 tahun 5 bulan, dengan niat hendak mencabul kehormatannya di tepi jalan berhampiran pasar mini 99 Speed Mart di Taman Ukay Perdana,  di sini pada 9.20 malam, 16 Ogos 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa seorang diri berjalan kaki pergi ke pasar mini 99 Speed Mart dan terjumpa tertuduh yang bertanyakan mangsa mahu ke mana.

Mangsa yang mengenali tertuduh dengan panggilan 'uncle' memberitahu dia mahu ke pasar mini untuk membeli barangan sebelum pergi ke kedai itu.

Setelah mangsa selesai membeli barangan dan keluar dari pasar mini untuk pulang ke rumah, tertuduh sekali lagi menegur mangsa dan memberitahu dia mahu belanja mangsa makan dan minum serta mengajaknya keluar berjalan-jalan namun mangsa menolak dan terus berjalan pulang.

Tertuduh bagaimanapun telah mengekori mangsa dan secara tiba-tiba memeluk dan meraba mangsa dari belakang dan mangsa yang ketakutan berlari pulang ke rumah sambil menangis lalu memberitahu kejadian itu kepada kedua ibu bapanya sebelum membuat laporan polis.

Ketika rayuan tertuduh yang telah berkahwin dan isterinya berada di India memohon  hukuman denda namun Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman berat mengambil kira tertuduh merupakan warga asing dan kesalahan yang dilakukan adalah serius melibatkan kanak-kanak selain perbicaraan penuh telah berlangsung dan dia  telah didapati bersalah.

Lebih lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh, memberi keterangan pada  perbicaraan kes itu yang bermula pada 9 Mei lepas. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.