TAIPING - [VIDEO] Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di sebuah rumah di Batu Matang, Matang Road, 11 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Fadil Zainan, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohd Hairol Jemain, tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Fadil didakwa dengan niat telah menyebabkan kematian Noorwaheedah Abdul Wahid, 38, pada jam 8.30 malam di rumah mereka.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan manakala tertuduh yang hadir berpakaian biasa berwarna biru gelap tidak diwakili peguam.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan suspek pada mulanya dipercayai memukul isterinya di rumah mereka di Matang disyaki kerana cemburu sehingga menyebabkan mangsa cedera.

Pada jam 9.15 pagi keesokannya, mangsa tidak sedarkan diri  lalu dibawa ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Pemeriksaan doktor mengesyaki mangsa mengalami kecederaan di kepada akibat dipukul menggunakan senjata tumpul sebelum disahkan meninggal dunia di hospital sama pada jam 9.30 malam berkenaan.

Empat anak pasangan itu, berusia lima hingga 15 tahun kini berada di bawah jagaan saudara mara mangsa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Seorang lelaki yang memandu kereta dengan membawa mayat teman wanitanya ke Balai Polis Damansara minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.
  • BELAGA - Seorang wanita berusia 25 tahun ditemukan mati manakala suaminya cedera dengan kesan kelaran di leher masing-masing di sebuah rumah panjang di Sungai Asap di sini, malam semalam (Ahad).
  • BATU GAJAH - Seorang lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini atas pertuduhan membunuh bapa saudaranya di sebuah rumah di Kampung Chenderong Kelubi, Sungai Galah, Kampung Gajah, 7 Januari lalu.
  • JOHOR BAHRU - Lima individu termasuk dua beranak disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di Taman Nusa Bestari, Skudai, di sini semalam direman lima hari.