PETALING JAYA - Seorang penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini ditegur oleh majistret  kerana  membuat  laporan polis palsu  mengenai kehilangan kad pengenalannya.

"Kalau kad pengenalan hilang, kamu sepatutnya kena pegi ke Jabatan Pendaftaran Negara, bukan membuat laporan polis palsu. Kamu ingat polis goyang kaki. Kamu ingat polis tidak ada kerja lain?

 Majistret Salamiah Salleh menegur perbuatan  M.Rhuvethan, 27, sebelum  menjatuhkan hukuman denda RM1,800 terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah membuat laporan polis palsu kepada pihak polis kononnya dia diragut.

"Saya terdesak ketika itu, kerana saya nak pergi temuduga tetapi kad pengenalan saya pula tercicir. Sebab itu saya buat laporan polis palsu," kata lelaki yang tidak diwakili peguam itu ketika merayu kepada mahkamah supaya hukumannya diringankan.

Dia  didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, di sini, pada 11.30 pagi,  29 Ogos lepas dan pendakwaan adalah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal berberbentuk pengajaran kerana perbuatan tertuduh membazirkan masa pihak polis.

Mengikut fakta kes, tertuduh  mendakwa dirinya  diragut, namun hasil siasatan polis mendapati  kejadian itu tidak pernah berlaku.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memberi kebenaran terhadap gerakan Islamic Renaissance Front (IRF) untuk memulakan semakan kehakiman berhubung tindakan pengharaman tiga buku terbitannya oleh Menteri Dalam Negeri.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang tauke bot Vietnam dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda RM500,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini atas tuduhan memberi suapan RM100,000 kepada Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
  • TAWAU - Seorang guru bahagian teknologi maklumat (IT) menjadi orang pertama di Malaysia yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membabitkan perkhidmatan aplikasi WhatsApp secara berkumpulan.
  • KUALA LUMPUR - Seorang tukang cuci yang menyimpan imej dan video berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbit, kononnya hanya untuk tontotan di masa lapang dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang wanita dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berniat ke Syria bagi maksud persediaan untuk melakukan perbuatan keganasan, tahun lalu.