IPOH - Orang ramai diminta membuat aduan rasmi kepada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras sekiranya merasakan beras yang digunakan bukan beras tulen.

Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras Perak, Abdul Rahim Rashid berkata, tindakan pengguna yang membuat tural di media sosial tetapi tidak membuat laporan rasmi sebenarnya tidak membantu pihaknya mengambil sebarang tindakan susulan.

"Jika betul pengguna jumpa beras yang dikatakan plastik, mereka diminta datang kemukakan kepada pejabat buat aduan terus. Kalau sekadar tural susah nak ambil tindakan sebab tak ada bukti.

"Kami minta pengadu datang ke pejabat dan bawa bahan bukti supaya mudah untuk kami analisis termasuk mengambil sampel untuk dihantar ke makmal bagi mendapatkan keputusan kimia," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan dengan pemborong beras Cap Rambutan keluaran syarikat OEL Distribution (Perak) Sdn Bhd, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini hanya terdapat satu aduan secara rasmi dibuat oleh pengguna di Johor yang bagaimanapun hasil siasatan mendapati beras tersebut negatif plastik.

Selain membuat pemeriksaan, Abdul Rahim serta tujuh anggota penguatkuasa Kawal Selia Padi Dan Beras negeri turut mengambil sampel beras untuk dibuat ujian awal dan dihantar ke makmal bagi tujuan ujian kimia.

"Daripada ujian awal itu, kami mengesahkan tidak ada mesin yang dikatakan memproses beras daripada plastik, tetapi yang ada hanya mesin untuk kampitkan beras. Jadi untuk peringkat awal kita dapati memang tuduhan itu tidak berasas.

"Manakala ujian dari sampel beras yang diberikan syarikat serta beras yang diambil secara rawak di dalam gudang untuk  ujian tekstur dan ujian iodin turut menunjukkan beras itu merupakan beras tulen," katanya.

Tambahnya keputusan ujian kimia dijangka keluar dalam tempoh satu minggu seterusnya dirujuk kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dimaklumkan selepas Kedah dan Perak, pemeriksaan sama akan dilakukan  di pemborong beras Cap Rambutan keluaran syarikat OEL Distribution (Selangor) Sdn Bhd dekat Rawang. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Siasatan awal ke atas pemborong beras Cap Rambutan, syarikat OEL Distribution (Kedah) Sdn Bhd dekat sini yang tular dikatakan menggunakan beras plastik, mendapati syarikat itu menggunakan beras tulen.
  • KOTA TINGGI - Kementerian Kesihatan sedang menyiasat aduan produk madu yang diimport dari Australia yang didakwa mengandungi kandungan beracun dan bahan toksin yang tinggi, yang berada di pasaran tempatan.
  • LANGKAWI - Seorang warga Thailand ditahan bersama-sama seorang rakyat tempatan di muara Sungai Kisap di sini tengah malam tadi kerana disyaki cuba menyeludup 270 beg berisi beras pulut masuk ke Langkawi.
  • KANGAR - Polis Perlis menerima lima aduan berkaitan not RM100 palsu sejak 1 Jan hingga semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Deputi Superintendan Mohd Rawi Ab Ghani.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.