KUALA KANGSAR - Dua lelaki maut dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk dua lori treler di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, sebuah lori treler jenis Hino dengan muatan besi yang dari arah Kuala Lumpur merempuh sebuah lori tiga tan jenis Nissan sebelum melanggar sebuah lori treler lain jenis Hino bermuatan papan yang berada di laluan sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, akibat rempuhan itu, pemandu lori treler dengan muatan besi, Mohd Amin Mohamad Nor, 52, bersama seorang penumpang yang belum dikenal pasti maut di tempat kejadian.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu mangsa mengalami masalah brek menyebabkan ia gagal dikawal sebelum merempuh kedua-dua lori yang berada di laluan kiri jalan.

"Pemandu lori yang maut berasal dari Kepala Batas, Kedah manakala seorang lagi penumpang lori yang dipercayai berusia 16 tidak dapat dikenalpasti identiti. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

"Sementara itu, pemandu lori tiga tan, pemandu lori treler muatan kayu lapis dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Mayat salah seorang mangsa yang tercampak keluar di kiri laluan tersebut. Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT NEGERI PERAK

Katanya, Mohd Amin ditemui dalam keadaan tersepit di tempat pemandu manakala penumpang yang maut pula ditemui di lorong kiri lebuhraya tersebut dipercayai tercampak keluar dari kenderaan itu akibat kemalangan tersebut.

Termizi berkata, ketiga-tiga kenderaan tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, tepi dan belakang akibat pelanggaran itu.

"Kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dibantu anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.