PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memberi tumpuan ke kawasan Pantai Timur dalam menghadapi gelombang kedua  banjir, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.

"Selepas negeri di utara, tumpuan kita kini beralih kepada Pantai Timur kerana jika mengikut ramalan cuaca, gelombang kedua lebih kepada negeri di Pantai Timur sebelum bergerak ke selatan serta Sabah dan Sarawak," katanya.

Sebelum ini, Pulau Pinang dilanda banjir luar biasa sehingga melumpuhkan sistem infrastruktur di negeri itu serta mengorbankan tujuh nyawa.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan gelombang kedua akan berlaku hingga tamat pertukaran monsun iaitu dalam minggu pertama November, manakala Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menjangkakan ia akan berlaku hingga hujung November berikutan cuaca yang tidak menentu sekarang.

Beliau ditemui pemberita pada majlis perasmian Seminar Kebangsaan Taman Permainan Kakan-Kanak 2017: Pemakaian Standard Malaysia MS 966:2017 dan MS 2665:2017 di sini hari ini.

Wan Mohd Nor berkata arahan siap siaga telah dikeluarkan kepada kira-kira 12,000 anggota jabatan itu untuk digerakkan ke lokasi bencana pada bila-bila masa.

Beliau berkata arahan itu merangkumi persediaan peralatan, menyemak prosedur operasi standard berkaitan banjir dan aspek penugasan.

"Tiada arahan pembekuan cuti dibuat ketika ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di negeri yang dijangka berhadapan gelombang kedua banjir agar tidak terlalu panik dengan situasi tersebut.

"Kita sedia maklum dengan keadaan cuaca dan pada saya, lebih baik penduduk bersiap sedia dari segi dokumen penting dan sebagainya daripada terlalu panik dengan ramalan kedatangan gelombang kedua banjir.

"Mereka tidak perlu risau dengan perkara lain kerana tempat pemindahan telah ditentukan lebih awal dan segala aspek kebajikan seperti makan dan minum akan dijaga dengan baik oleh pasukan yang ditugaskan di tempat pemindahan itu," katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.