ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menyediakan garis panduan keselamatan kebakaran sekolah pondok menjelang hujung tahun ini.

Ketua Seksyen Penguatkuasaan Bangunan JBPM, Ahmad Izram Osman berkata garis panduan itu amat penting bagi memastikan pemilik bangunan sekolah pondok mengikut prosedur keselamatan yang telah ditetapkan oleh JBPM.

Beliau berkata kebanyakan pengusaha sekolah pondok menggunakan bangunan lama dan rumah kediaman untuk dijadikan sekolah dan tidak mempunyai sistem keselamatan kebakaran yang betul.

"Kurangnya penekanan dalam aspek keselamatan kebakaran, menjadi punca utama kebakaran bangunan sekolah pondok seperti litar pintas hingga mengancam nyawa pelajar yang berada dalam bangunan.

"Setelah siap garis panduan ini, kita akan kuatkuasakan serta merta. Kita akan turun padang melakukan pemeriksaan keselamatan di bangunan sekolah dan meminta mereka patuhi setiap garis panduan ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran 2014 dekat sini hari ini.   

Ahmad Izram berkata sekiranya pemilik bangunan sekolah pondok ingkar dan gagal mematuhi garis panduan itu, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa.

Pihaknya turut mengingatkan agar pemilik bangunan tidak mengabaikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran agar ia berfungsi dengan baik. 

"Kalau bangunan baharu, sistem keselamatan mereka baik, namun jika tidak diselenggara dari semasa ke semasa ianya akan rosak. Setiap tahun kita akan periksa dan beri Sijil Perakuan Bomba (FC) sekiranya sistem keselamatan mereka berfungsi dengan baik," katanya.

Sementara itu Pengarah JBPM Kedah, Ahmad Shahabuddin berkata sebanyak 245 buah bangunan (premis perniagaan, komersial dan hotel) telah memperoleh sijil FC dan 53 buah lagi belum mendapat sijil tersebut kerana gagal mematuhi garis panduan disediakan.

Beliau berkata sejak Januari hingga Ogos lepas pihaknya telah memeriksa 30 premis dan telah mengeluarkan sebanyak 334 notis mengikut Seksyen 2 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Katanya dalam tempoh sama pihaknya telah menerima sebanyak 4,407 kes kebakaran kediaman dan premis perniagaan dan melibatkan lima kes kematian.

"Jumlah kebakaran dalam tempoh itu meningkat sebanyak 2,139 kes berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatatkan sebanyak 2,268 kes," katanya. 

Seminar disertai kira-kira 400 orang terdiri daripada pemilik premis perniagaan dan komersial, hotel, konsultan keselamatan kebakaran, kontraktor keselamatan kebakaran, pemaju perumahan dan syarikat keselamatan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :