SHAH ALAM - Modus operandi lapuk dua pusat refleksologi yang terletak di daerah Shah Alam menawarkan ‘khidmat’ tidak bermoral digempur Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Ops Noda dijalankan pada jam11 malam tadi hasil maklumat dan risikan pihaknya.

Menurutnya, dalam serbuan yang tamat kira-kira jam 2 pagi polis telah menahan lapan tukang urut  warga asing berusia lingkungan 21 hingga 29 tahun.

“Mereka ini merupakan warga China, cambodia, Indonesia dan Thailand.

“Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun diercayai penjaga premis,” katanya.

Dalam pada itu, seramai lapan orang pelanggan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Mengulas tentang modus operandi premis berkenaan, Fadzil mendedahkan, premis yang sudah lama beroperasi ini disyaki menawarkan aktiviti tidak bermoral kepada pelanggan dengan harga tertentu.

“Ini susulan rampasan beberapa barang disyaki untuk aktiviti berkenaan iaitu botol minyak urut, tuala selain jadual kerja serta wang tunai,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.