KUALA LUMPUR - Tiga penjelajah negara yang melaksanakan Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017  berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara pada jam 5.06  petang semalam waktu Kutub Utara atau jam 11.06  malam tadi waktu Malaysia.

Menurut Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, kejayaan menamatkan misi ekspedisi itu dimaklumkan oleh Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin menerusi panggilan telefon satelit malam tadi.

"Alhamdulillah syukur kepada ALLAH kerana negara kita sekali lagi mencatat sejarah dengan kejayaan Qobin, Shahrom dan Irwan memahatkan nama mereka sebagai penjelajah Kutub Utara sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

"Mereka bertiga membawa nama negara dan berski di Kutub Utara bersama beberapa lagi penjelajah dari  Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada", kata  Akmar dalam kenyataan hari ini.

Qobin, yang juga Presiden KE7B - singkatan bagi Kelab Eksplorasi 7 Benua - merupakan pendaki Everest 2004 dan pendaki Malaysia pertama menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia pada 2010.

Beliau disertai ​​​​​​atlet dualthlon dan triathlon negara Shahrom Abdullah, 38, dan atlet sukan lasak Muhammad Irwan Yusoff Abdullah, 37.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017  membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji (sledge) sejauh 111 kilometer yang memakan masa 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke titik 90 darjah  Kutub Utara.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penjelajah Malaysia itu menamatkan misi mereka  dalam tempoh enam hari sahaja.

Lebih manis lagi, jelas Akmar, kejayaan menamatkan penjelajahan itu merupakan hadiah cukup bermakna kepada Qobin yang menyambut  ulang tahun kelahiran ke-35  pada 20 April.

Tambahnya, beliau dimaklumkan Qobin bahawa pergerakan bagi baki tiga kilometer terakhir menuju ke titik 90 darjah disifatkan paling mencabar kerana terpaksa berdepan dengan rekahan ais yang lebar dan menyebabkan mereka berusaha keras untuk menyeberangi rekahan tersebut.

Selain itu, Akmar berkata penjelajahan mereka pada hari ketiga diganggu seekor beruang kutub yang menghampiri khemah satu kumpulan lain, yang menyebabkan mereka terpaksa berwaspada setiap masa.

Qobin juga menceritakan detik cemas berkenaan pelbagai halangan yang ditempuhi.

Antaranya terlalu banyak bongkah ais yang pecah dan memaksa mereka berulang kali mengangkat sledge dan berdepan risiko terjatuh ke dalam air laut ais kerana ketebalan ais hanya antara tiga dan empat meter.

Perjalanan juga menjadi lambat berikutan kawasan laluan mula mencair sehingga menyebabkan ada antara bahagian ais terpisah oleh air laut sehingga 30 meter jaraknya.

Disebabkan itu, mereka perlu mencari laluan alternatif sejauh kira-kira 12.8 kilometer untuk mengelakkan laut yang mula mencair untuk sampai ke garisan penamat.

Sebaik menamatkan penjelajahan itu, semua penjelajah diterbangkan dengan helikopter dari titik 90 darjah Kutub Utara ke Stesen Barneo yang mengambil masa penerbangan kira-kira 35 minit.

"Saya juga dimaklumkan Qobin yang mereka juga perlu segera keluar dari Stesen Barneo dengan penerbangan khas ke Longyearbyen, Norway memandangkan landasan terbang ais di stesen tersebut sudah mula retak dan cair," kata Akmar.

Kumpulan penjelajah Malaysia itu  berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April lepas sebelum berpangkalan di Longyearbyen, Svalbard, Norway selama seminggu bersama pasukan sokongan diketuai  Akmar dan turut disertai beberapa wakil media dari TV3 dan NSTP.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya memulakan misi penjelajahan berski dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke titik 90 darjah itu pada 14 April lalu.

"Apa yang lebih penting ialah ketiga-tiga penjelajah selamat dan berada dalam keadaan sihat sepenuhnya sepanjang misi penjelajahan itu walaupun berdepan dengan cabaran cuaca sejuk yang ekstrim sehingga mencecah negatif 40 darjah Celsius", kata Akmar.

Sepanjang ekspedisi itu, mereka berski sambil menarik kereta luncur salji yang mengandungi barang keperluan seperti peralatan khemah, bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 50 kilogram.

Titik 90 darjah Kutub Utara merupakan titik paling utara di bumi. Ia terletak pada latitud 90 darjah utara dan semua garisan longitud bertemu pada titik itu, dan pada kedudukan berkenaan setiap arah seseorang itu menghadap adalah selatan.

Ekspedisi ke Kutub Utara itu merupakan aktiviti ekspedisi keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.