PETALING JAYA – Tiga individu yang sudah dibuang keanggotaannya dari Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) dikesan giat menjual pangkat pegawai pasukan berkenaan secara haram.

Komandan PTCM Petaling Jaya, Tang Swee Huat berkata, individu berusia 40 hingga 50 tahun itu dikenal pasti giat menjual pangkat PTCM di sekitar Lembah Klang dengan harga mencecah ribuan ringgit.

Menurutnya, setakat ini PTCM ada menerima beberapa aduan daripada orang ramai di sekitar kawasan Subang yang sangsi dengan ‘pangkat’ ditawarkan oleh individu terbabit.

“Mereka yang terbabit sudah dikenal pasti dan pergerakan mereka kini sedang dipantau,” katanya ketika ditemui  selepas membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang, semalam.

Sementara itu, Ketua Turus Utama  PTCM, Datuk Dr Munsyi Yacob ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit yang sebelum ini pernah memegang jawatan pegawai dalam pasukan tersebut sudah dipecat sejak Jun tahun lalu atas kesalahan menyalahgunakan kuasa.

“Mereka sebelum ini dikesan menganjurkan majlis di sekitar beberapa negeri di utara tanah air menggunakan nama PTCM tanpa kebenaran,” katanya.

Menurutnya, individu-individu terbabit turut mengutip sumbangan dan menawarkan pangkat  PTCM kepada penaja yang membuat sumbangan terbanyak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Seorang lelaki dijatuhkan hukuman setahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini, kerana menipu berkaitan pengurusan rumah flat.
  • KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyiasat dakwaan seorang bekas pelajar kolej di utara tanah air bahawa kolejnya telah mengenakan caj tersembunyi dalam yuran ke atas peminjam PTPTN.
  • KUALA LUMPUR - Dijanjikan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, itu antara modus operandi sebuah kolej swasta di utara Semenanjung bagi menarik lebih ramai melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) itu.
  • KUALA LUMPUR - Lelaki Nigeria dan teman wanitanya dicekup di sebuah pangsapuri di Rawang, dekat sini, selepas dipercayai memperdayakan seorang ahli perniagaan hingga rugi ribuan ringgit.
  • MUADZAM SHAH - Kira-kira 48 peneroka termasuk ahli keluarga mereka dari Felda Keratong, di sini, membuat laporan polis setelah berasa tertipu dengan pakej umrah dan ziarah yang dikendalikan oleh sebuah syarikat di sini.