KUALA LUMPUR - Polis menahan beberapa individu di Kelantan dipercayai terlibat merancang melakukan serangan di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan perkara berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Memang ada tangkapan dibuat dan mempunyai kaitan dengan usaha mereka (suspek) melakukan serangan di sasaran tertentu,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai tangkapan melibatkan pelajar sekolah yang dipercayai memiliki dan mempunyai kemahiran menghasilkan bahan letupan di Kelantan.  

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata sebanyak 27 laporan polis telah diterima sebagai bantahan kepada perhimpunan ‘Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ yang dirancang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya esok.

Katanya, pihaknya tetap tidak membenarkan perhimpunan berkenaan meskipun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah memberi kebenaran.

"Kami tidak setuju perhimpunan di situ walaupun MBPJ telah beri kebenaran kepada penganjur berhimpun kerana mengambil kira pelbagai faktor antaranya kesesakan lalu lintas,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dua anggota polis trafik yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di KM 139 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan semalam beliau berkata pihaknya akan mengkaji punca sebenar kejadian.

“Saya telah arahkan Ketua Polis Terengganu (Datuk Aidi Ismail) melihat perkara ini secara terperinci agar ia tidak berulang. Mungkin dari segi perlaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ada kelemahan,” katanya.

Dalam kejadian pada 2.55 petang semalam, SM Abdul Hakim Samingan, 54, dan Kpl I. Suresh, 36, maut di tempat kejadian setelah dirempuh sebuah lori jenis Kia yang memasuki laluan konvoi yang disertai dua mangsa terbabit.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak, di sini.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Arcyl Sani Abdullah Sani menggantikan Pengarah StaRT selepas Datuk Seri Abd Manan Mhd Hassan bersara wajib semalam setelah berkhidmat hampir 41 tahun dalam pasukan polis.

Sementara itu, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang pada masa ini masih memegang jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dilantik sebagai Pengarah JSJK yang baharu.

Jawatan baharu Acryl Sani dan Amar Singh akan berkuat kuasa 9 November ini. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUTTERWORTH - Polis akan memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merekodkan keterangan berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina masyarakat Bugis, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
  • KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga forex Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an.
  • KUALA LUMPUR - Tiada permohonan rasmi diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibuat kerajaan India untuk proses ekstradisi terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.
  • KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memuat naik tweet pertamanya hari ini melalui akaun twitter rasminya yang menggunakan nama Mohamad Fuzi Harun @Fuzi_Harun.