TAIPING - Bayi lelaki warga Rohingya berusia sebulan antara 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi ke atas dua tapak pembinaan oleh Jabatan Imigresen di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata dalam operasi yang bermula kira-kira 10.30 malam dan tamat pada 2.30 pagi tadi, seramai 159 PATI diperiksa.

Katanya mereka yang ditahan terdiri daripada 39 lelaki dan enam wanita membabitkan warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh dan kesemuanya tidak memiliki dokumen yang sah.

"Pemeriksaan kami mendapati PATI terbabit tidak mempunyai dokumen yang sah dan ada yang lari dari majikan asal kemudian bekerja di tapak pembinaan di sini,” katanya kepada pemberita selepas operasi di dua tapak pembinaan di Taman Aor Jaya dan Jalan Taman Lake View di sini, malam tadi.

Beliau berkata mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen untuk pemeriksaan lanjut dan akan dihantar ke depot tahanan jabatan berkenaan di Langkap.

Menurut Mustafar pihaknya tidak akan berkompromi dengan PATI dalam memastikan negara ini bersih daripada pendatang asing dan majikan yang menggaji mereka tidak akan terlepas daripada hukuman termasuk pembekuan aset.

Selain itu, beliau berkata terdapat majikan khususnya pemaju perumahan di sekitar bandar ini dikesan membenarkan pekerja mereka menjadikan bahagian bawah bangunan yang dalam pembinaan sebagai rumah kongsi.

Katanya tindakan pemaju terbabit boleh membahayakan keselamatan nyawa pekerja jika berlaku kejadian tidak diingini termasuk kebakaran akibat penyambungan elektrik secara haram.

"Semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah bertanggungjawab memastikan keselamatan pekerja di tapak pembinaan diberi perhatian sewajarnya,” tegas beliau. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Lima kanak-kanak warga Indonesia adalah antara 110 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berjaya diberkas Jabatan Imigresen Selangor dalam serbuan di dua buah rumah kongsi di sebuah tapak pembinaan di Bukit Mahkota, Kajang awal pagi semalam.
  • PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya dan lawatan delegasi khas ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
  • KOTA BHARU - Perjalanan sebuah bas eskpres dari Butterwoth, Pulau Pinang ke Kelantan yang membawa pendatang tanpa izin (Pati) warga Manyamar berjaya dikesan pihak Jabatan Imigresen Kelantan di sini pagi tadi.
  • BUKIT KAYU HITAM - Seorang wanita warganegara Myanmar yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditahan dalam Op Wawasan Kedah/Perlis baru-baru ini kerana dipercayai menjadi tekong penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).
  • JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) mematahkan cubaan 16 migran yang dipercayai ingin pulang ke negara jiran melalui laluan haram dalam satu operasi yang dilakukan berhampiran pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar Kota Tinggi, malam tadi.