PUTRAJAYA - Syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang menggaji tujuh pengawal keselamatan disyaki anggota Abu Sayyaf Group (ASG), yang ditahan baru-baru ini, boleh dibatalkan lesen jika didapati cuai dalam proses pengambilan pekerja.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata syarikat-syarikat terbabit telah dikenal pasti dan tahap penglibatan mereka masih lagi dalam siasatan KDN dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Berdasarkan laporan awal siasatan PDRM, beliau berkata kesemua suspek dipercayai menggunakan dokumen pengenalan diri palsu untuk memohon bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan syarikat-syarikat tersebut.

"KDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat kawalan keselamatan jika didapati menggaji pengawal keselamatan yang mempunyai kaitan dengan pengganas akibat kecuaian syarikat untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan KDN," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya ia adalah kes pertama melibatkan tangkapan ke atas pengawal keselamatan yang disyaki anggota ASG.

Alwi berkata KDN menetapkan proses yang ketat bagi pengambilan pekerja oleh syarikat kawalan keselamatan termasuk mewajibkan semua syarikat membuat pengesahan ketulenan MyKad calon pengawal keselamatan secara biometrik di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum diambil bekerja.

KDN juga mewajibkan semua syarikat untuk membuat tapisan keselamatan ke atas pengawal yang diambil bekerja melalui pekeliling Agensi Persendirian Bil. 4 Tahun 2010 berhubung syarat/peraturan pengendalian serta Pengurusan Agensi Persendirian di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

"KDN memberi amaran kepada semua syarikat kawalan keselamatan supaya mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan bagi pengambilan pekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya.

Pada 14 Sept lepas, tujuh pengawal keselamatan warganegara Filipina yang disyaki anggota ASG ditahan dalam operasi khas Bahagian Counter Terrorisme Bukit Aman.

Kesemua lelaki itu ditahan susulan serbuan terhadap sel ASG pada 30 Ogos lepas yang merancang untuk melancarkan serangan pada upacara penutupan Sukan SEA Ke-29 dan perbarisan Hari Kebangsaan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :