AUTA

SHAH ALAM – Baru-baru ini tersebar di laman sosial Facebook yang memaparkan tentang promosi pembiayaan Bank Rakyat untuk membeli mesin penapis air.

Berdasarkan viral itu, kononnya penjawat awam adalah pemohon yang diberi keutamaan untuk mendapatkan pembiayaan tersebut.

Harga mesin air yang ditawarkan serendah RM5,700 sehingga RM19,928 dikatakan bakal mendapat pembiayaan penuh daripada pihak Bank Rakyat yang mana pembayaran semula boleh dilakukan secara ansuran di antara tempoh 24 bulan sehingga 10 tahun.

Promosi tersebut turut memaparkan logo Bank Rakyat selain mempamerkan nombor telefon pihak yang perlu dihubungi.

FAKTA

Bank Rakyat dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan iklan yang diviralkan menerusi Facebook itu adalah palsu.

Bank Rakyat turut menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan promosi pembiayaan jenama mesin penapis air seperti yang tersebar.

“Bank Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat individu atau syarikat yang menggunakan nama dan logo Bank Rakyat tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau saluran rasmi Bank Rakyat yang lain untuk sebarang maklumat lanjut.