JITRA - Kementerian Pendidikan diminta mengambil kira reka bentuk bangunan  sekolah yang akan dibina pada masa akan datang agar lebih sesuai dan selamat apabila berdepan  kemungkinan banjir.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata,  ini kerana ada sekolah yang ketika ini mempunyai reka bentuk yang kurang sesuai seperti bangunan didirikan tanpa asas tiang di atas tanah, sehingga menyebabkan kerosakan yang teruk apabila air banjir memasuki bangunan.

"Sebolehnya bangunan sekolah dibina dengan tiang yang tinggi dan setiap bilik darjah bermula dari tingkat satu, manakala ruangan di bawah dikosongkan bagi memudahkan air banjir mengalir dan tidak menyebabkan kerugian yang lebih besar," katanya.

Beliau yang juga timbalan menteri pertahanan berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau kerja membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Banai di sini hari ini yang dilakukan lebih 40 sukarelawan Team Salute Malaysia.

Mohd Johari berkata, pemilihan lokasi sekolah juga perlu mengambil kira kedudukan kawasan di tanah yang lebih tinggi memandangkan kebanyakan sekolah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara bagi menempatkan mangsa banjir.

Hujan lebat dan berterusan baru-baru ini mengakibatkan SK Seri Banai yang terletak di Kampung Batu, Mukim Pelubang dekat sini dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan lapan bilik darjah, banunan prasekolah, surau dan bilik khas ditenggelami air.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.