MERSING - Tiga kawasan baharu di daerah ini dinaiki air susulan pengumpulan air sungai dari kawasan hulu ke kawasan terlibat semalam hingga tengah malam tadi beserta hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu.

Pegawai Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Mersing, Nurnajibah Abdullah berkata setakat jam 4 pagi tadi seramai 401 orang telah dipindahkan melibatkan 99 keluarga.

"Peningkatan jumlah mangsa banjir itu adalah kesan daripada pengumpulan air sungai dari kawasan hulu yang turun ke kawasan terlibat dengan hujan lebat yang berterusan.

"Kita buka tiga lagi pusat penempatan baharu iaitu di Sekolah Agama Pengkalan Batu, Sekolah Agama Mersing Kanan dan Sekolah Kebangsaan Labong" katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Setakat ini, lima kawasan telah dinaiki air sejak Khamis lalu iaitu Kg Tenglu Besar, Kg Air Papan, Kg Baru Jemari, Kg Sungai Muka Dua dan Kampung Orang Asli Labong.

Di Kg Air Papan mangsa bertambah kepada 69 orang daripada 17 keluarga sejak malam tadi manakala dari Kg Baru Jemari seramai 76 dipindahkan melibatkan 20 keluarga.

Di Kg Sg Muka Dua seramai 109 mangsa daripada 31 dipindahkan lewat malam tadi dan 109 mangsa lagi daripada 22 keluarga dari Kampung Orang Asli Labong.

Jumlah mangsa banjir di Kg Tenglu Besar kekal 38 orang daripada sembilan keluarga.

Cuaca di Mersing masih hujan berterusan sejak Rabu dan laluan Jemaluang-Mersing terhalang di hadapan SMK Anjung Batu susulan laluan air banjir selain Jalan Telok Arong yang masih ditutup untuk semua kenderaan ekoran runtuhan cerun, Khamis lalu.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :