• Pemandangan di kawasan bumbung rumah banglo runtuh. Pemandangan di kawasan bumbung rumah banglo runtuh.
1 /

SHAH ALAM - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) hari ini membuat laporan polis selepas mendapati ada unsur kecuaian dalam kejadian banglo runtuh yang mengorbankan seorang pekerja di sini, Oktober lepas.

Pengarah Penguat kuasa CIDB Abdul Razak Husin berkata, ada dua unsur kecuaian dikesan CIDB dalam siasatannya iaitu dari segi reka bentuk binaan dan ketika melakukan kerja pengubahsuaian.
   
Unsur kecuaian ini perlu disiasat polis kerana terletak di luar bidang kuasa CIDB, katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini.
   
"Laporan polis ini dibuat kerana CIDB mengambil berat tentang keselamatan tapak bina dan tidak mahu pihak yang terlibat mahupun orang ramai mengambil ringan soal undang-undang dan keselamatan dalam menjalankan apa-apa projek pembinaan sekalipun," katanya.
   
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.
    
Dalam kejadian di Seksyen 7, 18 Oktober itu, buruh binaan warga Indonesia Totok Mochamd Anthony maut, manakala lima lagi parah apabila sebahagian bumbung konkrit banglo yang dalam proses pengubahsuaian runtuh.
   
Pada 12 Disember lepas, syarikat kontraktor melakukan kerja pengubahsuaian itu, Syarikat Sara Design Studio didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas pemilik syarikat, Ng Bee Choo, 42, mengaku bersalah atas kesalahan tidak memiliki perakuan pendaftaran sah CIDB untuk melakukan kerja itu.
   
Mengulas perkara lain, Abdul Razak berkata, pihaknya mengambil tindakan disiplin terhadap 60 kontraktor sepanjang tahun lepas kerana tidak menjaga kebajikan pekerja seperti tidak membayar gaji dan sebagainya. - Bernama