KUALA TERENGGANU - Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan merogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan merogol dan meliwat seorang remaja bawah umur, dalam kejadian dua tahun lalu.

Tertuduh, Engku Muhammad Ajwad Engku Adnan, 22, dari Sungai Tong, Setiu, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377 B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Merbau, Setiu, jam 3 pagi, pada 15 Mac 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan meliwat mangsa sama di lokasi sama, jam 6 pagi, pada 15 Mac 2015.

Dengan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu direkodkan, mahkamah menetapkan 3 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zul Basysyar.

Pada 8 November lalu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan di Mahkamah Sesyen sama selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan merogol seorang pelajar tingkatan satu, dua tahun lalu.

Tertuduh mengaku salah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun dua bulan di dalam sebuah kereta di parkir di dalam kawasan sebuah sekolah menengah di Setiu, antara pertengahan Jun 2015 hingga awal Ogos 2015.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Seorang bilal didakwa meliwat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang bekas banduan yang sanggup meliwat seorang banduan lain semasa berada di dalam tawanan penjara di Penjara Marang dihukum lima tahun penjara dan dikenakan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
  • PUTRAJAYA - Tiga kali setiap hari kecuali dua hari sebelum dan hari pertama ramadan, seorang agen unit amanah didakwa melakukan liwat terhadap anaknya berusia 15 tahun, sejak Januari lalu.
  • PUTRAJAYA - Prosiding pendakwaan terhadap seorang bapa yang melakukan serangan seksual terhadap anaknya sedang berlangsung di Mahkamah Sesyen Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak bermula jam 9.10 pagi ini.