KUALA LUMPUR- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali gagal dalam percubaannya mencabar keputusan ketua audit negara yang mengklasifikasikan laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

Ianya selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Mat Said menolak semakan kehakiman yang dikemukakan atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai merit.

Melalui penghakimannya, Kamaludin berkata,  Timbalan Presiden PKR itu tidak mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang (locus standi) untuk mencabar keputusan ketua audit negara.

Kamaludin turut memberikan keputusan yang sama terhadap permohonan yang dikemukakan seorang ahli Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Peribumi) iaitu Muhammad Zahid Mat Arip yang turut mengemukakan permohonan serupa.

Azmin dan Muhammad Zahid selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman  itu secara berasingan dengan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang; dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Permohonan tersebut melibatkan isu mengikut Peruntukan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk mencabar pengelasan laporan itu sebagai sulit bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dalam pada itu menurut afidavit sokongannya, Azmin menuntut Laporan Audit Negara berhubung 1MDB yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) diklasifikasikan semula sebagai dokumen awam.

Antara lain, Azmin dan Muhamad Zahid menyatakan alasan bahawa Ambrin tidak mempunyai kuasa untuk mengklasifikasikan laporan tersebut sebagai rahsia rasmi kerana kuasa untuk berbuat demikian menurut Seksyen 2B OSA hanya terserah kepada pegawai awam.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu mendakwa tindakan mengklasifikasikan laporan berkenaan sebagai rahsia rasmi adalah konflik kepentingan  yang dikeluarkan oleh Najib.

Sehubungan itu beliau menuntut deklarasi mahkamah bahawa laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi menurut  OSA adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires.

Azmin turut menuntut satu perintah mandamus yang menghendaki responden  atau agennya mengklasifikasikan semula laporan 1MDB dan mendedahkan kepada orang ramai.

Sementara itu, selesai prosiding, Azmin menyatakan beliau akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaaan Malaysia gagal dalam permohonan untuk menangguhkan pemfailan pernyataan pembelaan masing-masing.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang dikemukakan Gerakan Anak Muda Tolak MO1/Najib (GANT1) berhubung pembayaran pinjaman jaminan bon berjumlah RM35 billion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar Asli).
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi membatalkan saman yang dikemukakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang menuntut wang RM2.6 bilion dan RM42 juta yang didakwa dikreditkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
  • KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan kes pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).