BANDARAYA MELAKA - Seorang anak mencari ayah kandung yang terpisah sejak 26 tahun lalu.

Norliana Mohd Kamil, 36, dari Kampung Pernu di sini berkata, dia dan ayahnya, Mohd Kamil Ahmad yang kini berusia 60 tahun terpisah ketika dia baharu berusia 10 tahun.

Menurut Norliana yang sudah mendirikan rumah tangga serta mempunyai tiga orang cahaya mata, setakat ini pelbagai usaha telah dilakukan termasuk merujuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara tetapi gagal mengesan ayahnya.

Katanya, setakat ini alamat terakhir ayahnya masih di kilometer 12 Kampung Pernu, Melaka.

"Dengan membawa gambar ayah dan salinan sijil kelahirannya, puas saya berikhtiar, sampai dah tak larat dah untuk cari ayah, hampir semua tempat saya dah cari.

"Kadang-kadang sampai dah rasa putus harap dan kecewa sangat, tapi saya tetap kuatkan hati ini, cuba juga nak jejak ayah," katanya kepada media semalam.

Norliana berkata, dia juga mempunyai tiga adik-beradik namun dua daripadanya menetap di Singapura bersama ibu kandung yang telah berpisah dengan ayahnya sebelum ini.

Dia yang dibesarkan oleh nenek berkata, ayahnya dikatakan berkahwin dengan seorang wanita berasal dari Merlimau, Jasin.

"Saya selalu berdoa sekiranya ayah masih hidup, semoga ALLAH pertemukan dengan ayah dan sekiranya ayah sudah tiada, dapatlah ALLAH tunjukkanlah pusaranya.

"Ayah, baliklah jumpa kami adik beradik, menantu dan cucu-cucu ayah ni tak pernah jumpa ayah walaupun sekali. Nenek pun masih tak putus doa semoga anaknya balik menjengoknya sementara ada umur dia," luahnya.

Justeru, Norliana berharap sesiapa sahaja yang mengetahui di mana lokasi ayah berada dapatlah menghubungi balai polis terdekat.

"Sesiapa sahaja yang baca luahan saya minta jasa baik hebahkan pencarian saya, mana tahu ayah terbaca ke, kawan ayah terbaca atau ada yang kenal ayah.

"Saya harap usaha saya mencari ayah ada titik noktahnya," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Kanak-kanak 10 tahun, Faralysa Amani yang dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di kuaters kakitangan Politeknik Port Dickson pagi tadi telah ditemui sekitar jam 9 malam tadi.
  • DUNGUN - Mayat salah seorang daripada empat nelayan yang hilang dalam insiden bot karam di Muara Kuala Dungun, di sini, kelmarin ditemui.
  • SHAH ALAM - Seorang anak kapal warga Thailand dilapor hilang dipercayai terjatuh ke dalam laut, kira-kira 11 batu nautika dari barat daya Morib, Banting semalam.
  • SHAH ALAM - "Saya perasan rumah saya dipecah masuk selepas terdengar jiran menjerit, mengatakan motosikal kami dah hilang," demikian luah Badrina Ghazali, mengenai kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya di Perumahan PKNS, Seksyen 19, di sini, pagi tadi.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan laporan bahawa kontena mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi telah hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor Bahru.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.