KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melatih pegawai perubatan termasuk doktor daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan fasiliti di hospital medan yang akan ditempatkan di kem pelarian etnik Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata selain pegawai perubatan dan doktor KKM, terdapat juga pegawai perubatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan turut dilatih.

"Kami di ATM menyediakan fasiliti hospital medan ini yang lengkap segala kemudahan untuk keperluan pelarian yang perlukan rawatan dan pada masa yang sama kami juga akan melatih anggota perubatan termasuk doktor KKM dan NGO untuk menggunakan kemudahan itu.

“ATM siap sedia untuk menghantar aset hospital medan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh dan kami telah pun membuat kajian di lapangan untuk memastikan kesesuaian lokasi untuk hospital medan itu nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.  

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  yang melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong mengumumkan Malaysia akan membina hospital medan bernilai RM3.5 juta di kem pelarian yang menempatkan etnik Rohingya itu.

Beliau berkata Kor Perubatan ATM akan membina hospital itu yang di peringkat awal boleh memuatkan kira-kira 50 pesakit  serta 50 katil.

Katanya hospital itu akan dibina dalam tempoh sebulan dan akan mempunyai seramai 35 orang tenaga perubatan seperti doktor,  pembantu hospital dan jururawat. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.