KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB), syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia, mengumumkan pelantikan Arul Kanda Kandasamy sebagai Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, berkuat kuasa serta-merta.
 
Dalam satu kenyataan, 1MDB berkata Arul Kanda menggantikan Mohd Hazem Abd Rahman yang akan meletak jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta anggota Lembaga Pengarah, sebagai sebahagian pelan peralihan.
 
Lembaga Pengarah juga mengumumkan 1MDB akan melaksanakan semakan semula strategik bagi meneroka dan menentukan langkah seterusnya yang membolehkan syarikat memaksimumkan pulangan bagi semua pemegang kepentingan.
 
1MDB berkata ia akan memaklumkan pasaran mengenai hasil semakan semula strategik itu apabila tiba masanya.
 
Pengerusi Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata Arul Kanda membawa bersama pengalaman dari dunia kewangan serta mempunyai rekod cemerlang dalam mentrasformasi perniagaan. 
 
"Kepakaran beliau akan menjadi harta tidak ternilai kepada 1MDB ketika melaksanakan semakan semula strategik perniagaan yang objektifnya memastikan 1MDB berada di kedudukan terbaik untuk merealisasikan sepenuhnya nilai daripada portfolio pelaburan dan memenuhi objektif ekonomi lebih luas," katanya. 
 
Arul Kanda merupakan pemimpin pengurusan kanan dan ahli perbankan pelaburan dengan pengalaman luas dalam kewangan berstruktur, kewangan korporat dan penstrukturan semula di pelbagai pasaran termasuk London, Timur Tengah dan Malaysia.   
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan Abu Dhabi Commercial Bank itu sebelum ini pernah berkhidmat di Barclays Capital dan Credit Agricole.
 
Anak Malaysia ini juga merupakan anggota Lembaga Global Investment House (Kuwait) dan anggota Lembaga/Jawatankuasa Pelaburan  ADCB Macquarie Infrastructure Fund. 
 
[ARTIKEL BERKAITAN: CEO 1MDB letak jawatan serta-merta]
 
Beliau pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah RHB Investment Bank Bhd. 
 
Lodin berkata sudah tiba masa untuk 1MDB itu menutup mulut pengkritik dan merealisasikan objektif yang ditetapkan.
 
Beliau turut menambah 1MDB berhasrat menyemak keseluruhan alternatif strategik dan kewangan bagi memperoleh nilai tertinggi. 
 
"1MDB akan meneruskan inisiatif yang sedang dilaksana, meningkatkan kecekapan operasi dan menambah baik prestasi kewangan kami ketika proses ini dijalankan," katanya.
 
Sebagai presiden baharu, Arul Kanda berkata tugas pertamanya ialah melaksanakan semakan semula strategik menyeluruh terhadap operasi syarikat. 
 
Arul Kanda juga peguam bertauliah UK dengan Sarjana Muda Undang-Undang dari London School of Economics dan Sarjana Undang-Undang dari University College London. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaaan Malaysia gagal dalam permohonan untuk menangguhkan pemfailan pernyataan pembelaan masing-masing.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali gagal dalam percubaannya mencabar keputusan ketua audit negara yang mengklasifikasikan laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang dikemukakan Gerakan Anak Muda Tolak MO1/Najib (GANT1) berhubung pembayaran pinjaman jaminan bon berjumlah RM35 billion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar Asli).
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi membatalkan saman yang dikemukakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang menuntut wang RM2.6 bilion dan RM42 juta yang didakwa dikreditkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
  • KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan kes pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).