LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lumut mengesan sebanyak 274 kes pelbagai kesalahan membabitkan bot nelayan tempatan dan asing sejak tahun 2013.

Pengarah Wilayah Maritim Utara, Laksamana Maritim Pertama Zulkarnain Mohd

Omar berkata, jumlah kes itu melibatkan tangkapan daripada pangkalan APMM Lumut dan Kuala Kurau, Taiping yang melakukan rondaan serta penguatkuasaan di perairan dan sempadan negara.

Katanya, kesemua kes berkenaan dikesan hasil 11,883 pemeriksaan ke atas kapal dagang, bot nelayan, bot memancing dan pelancong yang berada di perairan negara.

"Antara kesalahan membabitkan nelayan asing adalah menceroboh kawasan perairan negara dan melakukan penyeludupan, manakala kesalahan nelayan tempatan antaranya melanggar zon (tangkapan), pekerja tiada permit selain warga asing," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pasukan Sukarelawan Simpanan Maritim Malaysia (PSSMM) peringkat negeri Perak di Pejabat DM 3, di sini, hari ini.

Katanya, kes tangkapan dilihat berkurang apabila sebanyak 45 kes dikesan sepanjang tahun lalu berbanding 81 kes pada tahun 2015 hasil keberkesanan  pemantauan dan operasi yang giat dijalankan.

Mengenai PSSMM, Zulkarnain berkata, pihaknya berharap kewujudan pasukan itu dapat membantu operasi dan tugas anggota tetap dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

Beliau berkata, sehingga kini, APMM Wilayah Utara yang merangkumi Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis telah mempunyai 1,050 anggota PSSMM daripada jumlah keseluruhan 5,200 anggota di semua wilayah maritim seluruh negara.

Katanya setiap anggota PSSMM akan didedahkan dengan latihan perbarisan, ceramah, berenang dan menyelam, mencari dan menyelamat, pengendalian kapal serta bot bagi memastikan mereka mempunyai asas kukuh sebagai anggota pertahanan.

"Mereka juga akan dibiasakan dengan akta-akta berkaitan secara berterusan bagi memantapkan bantuan kepada anggota tetap," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menyerahkan kembali tiga buah bot nelayan Indonesia yang ditahan kerana menceroboh perairan negara pada 16 Oktober lepas.
  • ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 300 ekor burung daripada spesies terancam pada kedudukan 4.97 batu nautika di perairan Tanjung Gabang, Selangor, petang semalam.
  • LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama dua nelayan warga Myanmar di 4.4 batu nautika barat daya Pulau Talang, di sini, petang semalam.
  • JOHOR BAHRU - Pertukaran nelayan Malaysia yang kini ditahan di Indonesia dan nelayan republik itu yang ditahan di Malaysia bagi kesalahan menceroboh kawasan perairan dijangka dilakukan pada Khamis ini, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar.
  • KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini berdepan cubaan suapan rasuah oleh nelayan asing yang ditangkap melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.