KOTA BHARU - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am PGA, Pengkalan Chepa maut selepas dipercayai lemas ketika mencari kepah bersama dua rakannya di Sungai Pengkalan Datu, Pulau Belacan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang mangsa, Mohd Haniff Hassan, 34, dikatakan turun ke sungai dengan berjalan kaki ekoran pada ketika itu air sungai hanya pada paras buku lali.

Mangsa pada mulanya menyertai dua rakannya mencari kepah di tengah kawasan sungai yang jaraknya 15 meter dari darat.

Namun selepas lebih sejam mencari dia meminta diri untuk naik ke darat dan berenang sendirian dan ketika itu air mula pasang dan mencecah sehingga ke paras pinggang.

Ketika hampir sampai hanya lima meter dari darat, mangsa yang berenang sendirian dipercayai gagal menyelamatkan diri dan dihanyutkan arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.22 petang.

"Seramai 14 anggota menyertai pencarian dengan lima anggota dari Balai Pengkalan Chepa, empat Pasukan Penyelamat Di Air, lima anggota Pasukan Bomba Sukarela.

"Kita jalankan operasi menyelamat kira-kira sejam dan menjumpai mayat mangsa pada jam 5.37 petang, " katanya.

Sementara itu saksi kejadian, Mohd Noor Jaafar 42, berkata, dia bersama mangsa dan anak saudaranya biasa mencari kepah di kawasan itu.

"Saya dengar Mohd Haniff memanggil nama saya dua kali dan selepas saya menoleh ke belakang, dia hilang dari pandangan.

"Selepas itu saya dan anak saudara cuba cari namun tidak menemui mangsa dan kami terus naik ke darat minta pertolongan orang kampung dan hubungi bomba," katanya.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan berhubung kejadian.

Mayat mangsa di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Gara-gara mahu menyelamatkan adiknya, seorang remaja OKU lemas akibat terjatuh di Lata Lembik, Ulu Sungai Cheroh, Raub di sini, petang, semalam.
  • KOTA BHARU - Mayat mangsa lemas, Wan Ahmad Azinuddin Wan Mazlan Ariffin, 14, ditemui pada jam 10.10 pagi tadi di Sungai Baung Kampung Sentosa Badang di sini hari ini.
  • LUMUT - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemancing yang hilang selepas terjatuh dari bot tujuh batu nautika dari selatan Pulau Pangkor pada Sabtu lalu diperluas sehingga 30 batu nautika hari ini.
  • KOTA BHARU - Mayat pelajar lemas, Nik Hafizan Kamaruddin, 13, ditemui kira-kira jam 11.15 malam tadi.