KAJANG - Seorang bayi perempuan disyaki didera pengasuhnya dalam kejadian di Taman Bukit Mutiara, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, ibu mangsa yang juga merupakan anggota polis Kajang telah menghantar anaknya berusia lapan bulan di rumah pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, ibu bayi berkenaan kemudian terus ke tempat kerja  untuk mendapatkan cuti kecemasan.

Menurutnya, ibu mangsa datang semula ke rumah pengasuh berusia 24 tahun itu untuk membawa anaknya ke klinik.

"Semasa berada di luar rumah suspek, ibu mangsa telah mendengar mangsa menangis dengan kuat.

"Suspek berbohong kepada ibu mangsa menyatakan bayinya sedang tidur dan baik-baik sahaja, pada masa yang sama suspek tidak mengetahui bahawa ibu mangsa telah berada di luar rumah.

"Ibu mangsa kemudian mengambil anaknya itu dan mendapati ada kesan merah di pipi kiri bayi seperti di tampar," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, semalam, pihaknya telah menerima satu laporan daripada Pembantu Perubatan Hospital Kajang. Susulan rawatan terhadap mangsa, ibu mangsa mengesyaki mangsa telah didera.

Katanya, suspek kemudian ditahan pada jam 8 malam di rumahnya

"Dia direman selama empat hari sehingga Jumaat. Kes disiasat mengikut  Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :