ALOR SETAR - Jenazah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar, di sini, sebentar tadi.

Almarhum Sultan Abdul Halim , 89, mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar  pada pukul 2.30 petang semalam selepas memerintah Kedah selama 59 tahun.

Jenazah Almarhum baginda disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit dari pukul 11 hingga 1.30 tengah hari bagi membolehkan rakyat dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir.

Sebelum itu pada pukul 10.30 pagi, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang mengimamkan solat jenazah di Dewan Penghadapan.

Pada pukul 2.30 petang, jenazah Almarhum diarak menaiki pedati khas sejauh kira-kira 11 kilometer (km) dari Istana Anak Bukit ke Makam Diraja Langgar, di sini.

Jenazah Sultan Abdul Halim diarak di sepanjang Lebuh Raya Darulaman, sebelum melalui Jalan Tun Razak dan Jalan Langgar.

Pedati membawa jenazah yang bergerak meninggalkan Istana Anak Bukit kira-kira jam 2.30 petang itu, turut dinaiki empat pembawa payung dan tiga pembawa bintang.

Sebaik istiadat pemakaman selesai kira- kira pukul 4.45 petang , Syeikh Fadzil Awang dan Imam Besar Masjid Zahir,  Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim mengetuai bacaan talkin dan Syeikh Alauddin Abu Bakar memimpin bacaan tahli dan doa.

Berangkat sama ke Makam Diraja ialah Sultan Kedah yang baru dimasyurkan, Tunku Sallehuddin  Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah,  Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim, Tengku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Laksamana Kedah,  Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Istiadat pemakaman Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang berlangsung di Makam Diraja Langgar, petang tadi.
  • ALOR SETAR - Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Bijaya Indera, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah menafikan khabar angin yang tersebar di aplikasi WhatsApp dan Facebook kononnya Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sedang gering.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.